RM70 Juta untuk Sekolah dan Badan Keagamaan, dan RM2.25 bilion untuk air

KOTA KINABALU: 23 September 2025 – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM70 juta bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh, sekolah swasta, kuil dan badan keagamaan bukan Islam, dengan jumlah itu dijadual ditingkatkan kepada RM90 juta tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC), sekali gus membolehkan pemegang sijil berkenaan memohon biasiswa negeri serta melanjutkan pengajian ke institusi milik kerajaan negeri.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk membantu semua komuniti tanpa mengira agama atau kaum, termasuk melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri bagi menyokong sekolah Cina, persatuan kebudayaan serta penganjuran acara seperti Pesta Tahun Baru Cina, Pesta Bot Naga dan bantuan kepada gereja.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Malam Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina dan badan keagamaan bukan Islam di Dewan Hakka, malam Isnin.

Selain itu, beliau mengakui isu bekalan air merupakan cabaran utama selepas kerajaan terdahulu menamatkan kontrak konsesi, menyebabkan pampasan RM315 juta perlu dibayar kepada syarikat terlibat.

Katanya, sebanyak 18 projek pembangunan bekalan air sedang dilaksanakan, termasuk Loji Rawatan Air Kogopon di Papar bernilai RM365 juta yang dijangka siap pada 2026 dan mampu membekalkan 80 juta liter sehari bagi menampung keperluan Papar, Kinarut dan Putatan.

Selain itu, Projek Empangan Cinta Mata di Tawau bernilai RM300 juta dengan kapasiti 169 juta liter sehari dijangka siap pada 2027, manakala Loji Rawatan Air Telibong II yang sudah beroperasi kini menyalurkan 160 juta liter sehari ke Kota Kinabalu, KKIP dan Tuaran.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan, pembaikan dan penaiktarafan loji rawatan air di seluruh Sabah menelan kos keseluruhan RM1.2 bilion, dengan krisis kekurangan air di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna turut menjadi keutamaan.

Bagi jangka panjang, Hajiji berkata Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan Air Ulu Padas akan menyediakan kapasiti sehingga 6,000 juta liter sehari menjelang 2030, melalui kerjasama Sabah Energy Corporation, Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Beliau turut memaklumkan Jabatan Air akan dikorporatkan untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, sambil memberi jaminan masalah air akan dipulihkan sepenuhnya menjelang tahun depan walaupun Sabah kini mencatat kadar Air Tidak Berhasil (NRW) tertinggi iaitu 57 peratus akibat sambungan haram.

Hajiji berkata, pelbagai program di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya sedang dilaksanakan bagi memacu pembangunan negeri, dengan ekonomi Sabah kini kembali positif hasil pertumbuhan pelaburan serta peningkatan sektor pelancongan.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal