RM24.3 juta naik taraf ladang ternakan kerajaan di Sabah

9a5ba942 2478 4ae8 bab1 7ccfa97691bc EE2964DC 0B32 4202 A6D1 4E6D19177FB2

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Kerajaan negeri memperuntukkan RM24.3 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk menaik taraf 18 ladang ternakan ruminan dan bukan ruminan milik kerajaan di seluruh Sabah sebagai usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuh sekuriti makanan negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata projek itu melibatkan pembangunan 11 ladang ruminan besar, lima ladang ruminan kecil dan dua ladang bukan ruminan yang akan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa daerah di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Daud Yusof (Bongawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM12.5 juta disediakan untuk pembangunan 11 ladang ruminan besar, RM7 juta untuk lima ladang ruminan kecil dan RM4.8 juta untuk dua ladang bukan ruminan.

Naik taraf itu dijangka meningkatkan pengeluaran ternakan secara beransur-ansur sehingga 2030, termasuk pengeluaran daging, baka ruminan dan anak ayam dan itik untuk memenuhi keperluan sekuriti makanan negeri.

“Untuk ruminan besar dan kecil, setiap peningkatan pengeluaran ini memberi kesan langsung kepada Tahap Sara Diri (SSR) daging negeri kerana SSR daging lembu dan kerbau semasa hanya 7.05 peratus sahaja. Sumbangan ladang DVS ini adalah sebahagian daripada usaha RMKe-13, termasuk Program Integrasi Kelapa Sawit, MEPKAS dan Pembangunan Sumber Genetik, untuk mencapai sasaran SSR daging ruminan sebanyak 25 peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, untuk sektor bukan ruminan pula, ladang milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah akan terus berfungsi sebagai pusat latihan dan pembiakan baka, membekalkan anak ternakan untuk program kerajaan seperti Kebun Dapur dan menyokong usahawan kecil dan komuniti luar bandar yang ingin menceburi bidang penternakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal