RM1,500 geran kecil hasilkan kesedaran besar: Program Financial Adventure didik belia bijak kelola wang

WhatsApp Image 2026 07 11 at 8.57.41 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KENINGAU: 11 Julai 2026 – RM1,500 mungkin dianggap jumlah yang kecil bagi sesetengah pihak. Namun bagi sekumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, peruntukan tersebut menjadi pemangkin kepada satu misi mendidik seramai 126 rakan sebaya mengenai pengurusan kewangan yang bijak – satu kemahiran yang sering dipandang remeh namun terbukti mencabar.

Menerusi projek Financial Adventure, lima pelajar tahun akhir institusi tersebut tampil memperkenalkan literasi kewangan dengan pendekatan yang lebih dekat dengan realiti kehidupan pelajar.

Program yang diadakan pada 3 dan 4 Julai lalu bukan sekadar aktiviti kokurikulum biasa yang menghidangkan permainan dan kuiz. Sebaliknya, ia mencetuskan persoalan lebih besar: adakah generasi muda hari ini benar-benar bersedia menguruskan kewangan peribadi apabila mula bergelar pekerja?

Di era yang dikuasai oleh kemudahan pembayaran digital, pembelian dalam talian dan pengaruh gaya hidup di media sosial, wang boleh lenyap dalam sekelip mata. Tanpa pengetahuan kewangan yang mencukupi, kemudahan ini mampu bertukar menjadi jerangkap yang menjerat kestabilan kewangan seseorang.

Mengapa literasi kewangan penting?

Literasi kewangan bukan sekadar memahami cara menyimpan wang atau mengenali instrumen pelaburan. Ia merangkumi keupayaan membuat keputusan kewangan secara rasional – membezakan antara keperluan dan kehendak, merancang perbelanjaan, dan memahami risiko sebelum membuat komitmen kewangan.

Hakikatnya, masalah kewangan jarang berpunca dari pendapatan yang rendah semata-mata. Dalam kebanyakan kes, ia berakar umbi dari kelemahan pengurusan wang, perbelanjaan tanpa perancangan, dan kegagalan menyediakan simpanan untuk masa hadapan.

Bagi pelajar institusi vokasional yang bakal melangkah ke alam pekerjaan, kemahiran ini sama pentingnya dengan kemahiran teknikal yang dipelajari di kolej. Pendapatan yang bakal diterima perlu diurus dengan cekap agar memberi manfaat jangka panjang.

Kesedaran inilah yang mendorong Muhammad Alif Nazrul Nasir, Ashley Olivia Thien Hsieh Yun, Lawarniah Vijayan, Yosrieani Manjamain dan Dexter Erwinn Darmawan untuk melaksanakan projek Financial Adventure.

Projek tersebut merupakan kesinambungan dari penyertaan mereka dalam program Fund For Life anjuran Arus Academy, yang menyaksikan kumpulan pelajar berkenaan menerima geran RM1,500 untuk merealisasikan projek komuniti itu.

Bagi mereka, ilmu kewangan perlu dikongsi lebih awal kerana generasi muda bukan sahaja perlu mahir mencari wang, tetapi juga bijak menguruskan apa yang dimiliki.

Belajar melalui pengalaman, bukan teori semata-mata

Sepanjang dua hari program berlangsung, para peserta tidak sekadar mendengar penerangan mengenai kewangan, malah berpeluang mempelajari konsep tersebut melalui aktiviti interaktif.

Hari pertama menyaksikan sesi perkongsian mengenai pelaburan emas oleh ejen Public Gold, yang diikuti dengan kuiz bertanyakan hadiah kepada pemenang termasuk akaun percuma berserta simpanan emas.

Hari kedua pula menghidangkan karnival permainan berasaskan reruai yang menampilkan lima stesen cabaran berkaitan asas literasi kewangan.

Antara cabaran yang disediakan termasuk mengenal pasti perbezaan antara kehendak dan keperluan, memahami risiko penipuan dalam talian, menentukan keutamaan pembelian, dan mengurus perbelanjaan.

Peserta yang berjaya menamatkan kesemua cabaran dengan mengumpul pelekat dari setiap stesen turut menerima hadiah dari penganjur.

Pendekatan ini menjadikan pembelajaran kewangan lebih mudah difahami kerana para peserta berpeluang membuat keputusan berdasarkan situasi yang hampir menyerupai kehidupan sebenar.

Cabaran kewangan generasi baharu

Golongan muda hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran kewangan yang unik. Pengaruh media sosial, budaya berbelanja mengikut trend terkini, dan kemudahan membeli secara dalam talian – boleh mendorong seseorang membuat keputusan kewangan secara terburu-buru tanpa pertimbangan rasional.

Pada masa yang sama, peningkatan kes penipuan kewangan menunjukkan bahawa pengetahuan mengurus wang bukan lagi kemahiran tambahan, tetapi satu keperluan asas untuk melindungi diri dari eksploitasi.

Justeru, usaha seperti Financial Adventure dilihat sebagai langkah awal membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap kewangan peribadi mereka.

Ketua projek, Muhammad Alif Nazrul Nasir berkata program tersebut berjaya mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan mengurus wang dengan baik serta merancang perbelanjaan, simpanan dan pelaburan secara bijak.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang menyatakan beliau terharu dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh pelajar dan sambutan menggalakkan dari warga kolej.

Menurut beliau, usaha tersebut membuktikan bahawa kolej vokasional bukan sahaja berperanan melahirkan pelajar berkemahiran tinggi, tetapi turut menjadi pusat ilmu yang menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran kepada warga kolej dan komuniti setempat.

Bermula dari langkah kecil

Financial Adventure membuktikan bahawa pendidikan kewangan tidak semestinya bermula selepas seseorang menerima gaji pertama.

Kadangkala, perubahan besar bermula dari usaha kecil – apabila sekumpulan pelajar memilih untuk berkongsi ilmu, membuka mata dan membantu generasi mereka memahami bahawa nilai wang bukan hanya pada jumlah yang dimiliki, tetapi bagaimana ia diuruskan dengan bijak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal