RISDA peruntuk RM22.3 juta untuk perkasa Pekebun Kecil Getah di Sabah

RISDA3

TENOM: 7 Januari 2026 – Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah sepanjang tahun 2026 menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka secara menyeluruh.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, mengumumkan peruntukan tersebut semasa merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah bagi Tahun 2026. Beliau juga menyatakan bahawa RISDA Daerah Keningau menerima peruntukan RM4.66 juta khusus untuk program pembangunan pekebun kecil di daerah tersebut.

“Peruntukan ini melibatkan bantuan bagi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan,” katanya ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah bagi Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, hari ini.

Jamawi berkata, program inisiatif murni Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA itu merupakan itu merupakan platform berimpak tinggi untuk mengangkat martabat komuniti desa ke tahap yang lebih membanggakan selari dengan Aspirasi Desa Madani.

Menurutnya, keadaan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar dan Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah di Sabah kini tidak lagi diusahakan, justeru usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi tumpuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil.

Tambahnya lagi, keadaan itu menyumbang kepada penurunan pengeluaran getah asli negara, sekaligus memberi kesan kepada sumbangan sektor komoditi getah terhadap ekonomi negara.

Jamawi memaklumkan, RISDA Negeri Sabah menerima RM1.5 juta untuk meningkatkan produktiviti kebun getah melalui program pemulihan getah terbiar, pengeluaran hasil getah matang, insentif pengeluaran hasil getah (lateks), dan penyediaan prasarana ladang.

“Saya yakin Kerajaan Sabah akan terus menyokong apa jua pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk sektor komoditi getah,” katanya.

Beliau juga berharap Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan terus bekerjasama rapat dengan RISDA bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati sepenuhnya oleh warga Sabah.

Jamawi menyeru pekebun kecil untuk bekerjasama dengan RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi meningkatkan produktiviti kebun getah dan menggalakkan pemilik tanah terbiar memanfaatkannya sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal