Randawi Tavantang Kaamatan Rasmi Bermula Tahun Depan

PENAMPANG: 29 Mei 2025 – Buvazoi Tavantang Kaamatan akan dengan rasminya ditukar kepada Randawi Tavantang Kaamatan. Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi melambangkan anjakan makna, agar pertandingan ini terus dimartabatkan, diberi nafas baharu, dan kekal relevan dalam sambutan Kaamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Tahun 2025, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, mengumumkan nama baru itu di Majlis Perasmian Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan hari ini.

“‘Randawi’ dipilih sebagai simbol kepada jiwa lelaki muda yang bukan sahaja gagah secara zahir, tetapi juga kaya dengan nilai, akar, dan cinta terhadap warisan bangsanya,” ujar Kitingan.

Beliau menekankan harapan agar Randawi Tavantang Kaamatan akan terus menjadi medan penyatuan kekuatan lelaki muda dalam budaya, bukan hanya untuk generasi hari ini, tetapi sebagai warisan berharga untuk masa depan.

Kitingan turut menyatakan komitmennya untuk mengangkat pertandingan Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) sebagai platform yang bukan sahaja mencari peserta yang tampan, tetapi juga mencungkil potensi pemimpin muda yang berdaya saing dalam pelbagai bidang.

Dalam kenyataannya selepas pembentangan oleh Pengerusi BTK, Totu Casey Jovial, Kitingan mengungkapkan rasa terinspirasi dengan visi dan misi pertandingan yang menuntut setiap peserta akhir untuk menyediakan manifesto yang bermanfaat kepada komuniti. “Mereka bukan sahaja bertanding, tetapi juga menyandang tanggungjawab sebagai duta budaya muda,” tambahnya.

Buvazoi Tavantang Kaamatan telah menunjukkan kejayaan cemerlang sejak tahun 2023, dengan penyertaan lebih 200 peserta dari 40 negara, sekaligus menjadikannya duta budaya Malaysia ke Indonesia. Kitingan berbangga dengan pencapaian wakil BTK yang telah diiktiraf sebagai “The Most Influencer,” yang membuktikan keunikan dan bakat anak muda Sabah mampu memukau perhatian dunia.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada Totu Casey Jovial, yang telah memimpin BTK dengan dedikasi selama 8 tahun. “Beliau telah berjaya mengubah BTK daripada platform ‘saja-saja’ kepada acara berprestij yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Hasil perjuangannya, ramai anak muda kini semakin menyedari asal usul mereka dan bersemangat untuk menjadi pejuang budaya,” tambahnya.

Dengan semangat perpaduan dan keinginan untuk menjulang warisan budaya, Kitingan berharap BTK akan terus menjadi ruang untuk anak-anak muda mengembangkan potensi mereka dan memberi impak positif kepada masyarakat, bukan hanya di tanah air tetapi juga di pentas antarabangsa.

Akhir kata, tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan pertandingan ini, yang diketuai oleh Totu Casey Jovial. “Berikan tepukan kepada mereka. Anda telah membuktikan bahawa dengan semangat dan usaha yang ikhlas, anak muda mampu menjadi ikon budaya dan pemacu legasi bangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal