PENAMPANG: 29 Mei 2025 – Gelaran Randawi Tavantang Kaamatan pertama kali bergema dengan kemenangan dianugerahkan kepada Totu Mike Melvin dari Daerah Ranau, petang tadi.
Meskipun dalam ucapan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan penggunaan rasmi Randawi Tavantang Kaamatan hanya secara rasmi bermula pada tahun depan, gelaran itu telah diterima dengan gembira dan digunapakai dalam acara Buvazoi Tavantang Kaamatan hari ini, justeru menyaksikan detik penuh emosi dan kejutan apabila Totu Mike Melvin diumumkan sebagai juara edisi kali ini.
Dengan penuh rendah hati, Mike mengakui bahawa kemenangan ini benar-benar di luar jangkaan.
“Saya sendiri tidak menyangka akan menang,” katanya, jelas masih terharu. Namun saya sedar setiap peserta ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, termasuk diri saya. Kemenangan ini adalah satu kehendak dari Tuhan. Saya sangat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini.” kata Melvin.
Mengharungi pertandingan bukanlah sesuatu yang mudah buat dirinya. Antara cabaran terbesar yang dihadapi termasuklah mengenakan pakaian pahlawan garung lapoi Dusun Liwan buat kali pertama dan mencuba sebaik mungkin untuk menampilkan garung lapoi berkenaan dengan penuh keyakinan. Mike juga mengakui bahawa dirinya gugup ketika bercakap di khalayak ramai, namun berkat semangat dan dorongan dalam diri, cabaran itu menjadi titik tolak untuk terus belajar dan berkembang.
“Saya banyak belajar dalam pertandingan ini. Setiap cabaran adalah peluang untuk mengenali diri dan menolak batas kemampuan saya.”
Mike menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada semua yang telah menyokong beliau. “Terima kasih kerana bersama saya dari awal hingga ke saat kemenangan ini. Tidak lupa juga kepada semua yang menyediakan kelas, tunjuk ajar, dan bimbingan — saya sangat menghargainya.”
RTK2025 bukan sekadar pertandingan; ia adalah pentas untuk semangat susumangod yang kental mempertahan dan melestari warisan budaya.