Rakyat tidak mahu budaya, fikiran ekstrem membiak di Sabah

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang sudah lama mengamalkan keharmonian kaum dan ugama rata-rata menganggap insiden di mana seorang bukan Islam dimarahi dan ditampar oleh serong individu di Johor pada Ramadan sebagai ekstrem.


Ramai yang mengatakan tindakan ganas seperti itu tidak boleh dibenarkan membiak di tanah Borneo yang mana komuniti pelbagai kaum dan ugama sudah lama saling menghormati antara satu sama lain.
Ramai juga berpendapat insiden itu sangat bercanggah dengan budaya, fikiran dan amalan hidup rakyat dinegeri ini maupun di Sarawak.


Insiden tersebut tular di media sosial yang menyaksikan mangsa yang dikenali sebagai Elijah dimarahi dan ditampar ketika sedang makan di kedai serbaneka di pusat beli-belah.
Elijah menerusi tweet di akaun X @bingbinge656 mendakwa individual tersebut menghampirinya ketika dia sedang makan.


Elijah menjelaskan dia bukan seorang Muslim dan lelaki itu meminta kad pengenalannya sebagai bukti sebelum menamparnya.
“Walaupun saya berulang kali mengatakan saya bukan seorang Muslim, dia menampar saya beberapa kali,” katanya.


Anak kepada lelaki itu tampil menenangkan keadaan dan memohon maaf atas kelakuan bapanya.
Marah dengan tindakan lelaki itu, ramai netizens menyeru agar Elijah membuat laporan polis.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut mengutuk keras tindakan lelaki tersebut.
Kata menteri berasal dari Sarawak itu, tindakan itu harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.


“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.


“Saya berharap semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia dan seharusnya sentiasa saling menghormati budaya serta mengamalkan nilai Faham, Hormat dan Terima,” katanya menerusi laman X beliau menurut laporan Bernama.


Aaron berkata isu menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan semua pihak tidak seharusnya membiarkan sebarang insiden yang dapat meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.
Elijah dilaporkan telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


“Saya dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Saya berharap semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan perkara itu kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal