KOTA KINABALU: 30 September 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyeru rakyat di negeri ini supaya menilai prestasi wakil rakyat di kawasan masing-masing sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa aspek pembangunan serta perubahan yang dibawa pemimpin di kawasan diwakili mereka perlu dijadikan ukuran utama, selain janji baharu yang ditawarkan menjelang pilihan raya.
Beliau berkata, rekod pencapaian di peringkat akar umbi lebih relevan untuk menilai kemampuan seseorang calon sebelum diangkat ke jawatan lebih tinggi, termasuk Ketua Menteri.
Menurutnya, landskap politik semasa menyaksikan pelbagai parti menampilkan tokoh masing-masing sebagai calon utama, sama ada berpengalaman di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Namun, rakyat wajar memberi perhatian kepada sumbangan sebenar mereka terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengulas mengenai mesej tular berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kononnya pada 3 Oktober ini.
Beliau mengakui pembubaran akan berlaku dalam masa terdekat, namun tarikh sebenar hanya akan diputuskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor setelah diperkenankan Yang Dipertua Negeri.
Walaupun pelbagai spekulasi tersebar, persaingan politik di Sabah sudah lama bermula dengan pihak tertentu lebih awal memulakan kempen masing-masing.
Sumber: Berita Harian