Rakyat Malaysia Ditahan di Singapura Kes Dadah- Hukuman Mati jika Sabit Kesalahan

SINGAPURA: 24 September 2025 – Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 37 tahun ditahan di Singapura pada Sabtu lalu selepas pihak berkuasa menemui 3.8kilogram dadah bernilai lebih S$394,000 dalam keretanya.

Menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB), dadah itu terdiri daripada 1,908gram heroin, 1,655gram ganja, dan 268gram methamphetamine (“Ice”).

Pegawai ICA mengarahkan pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek di Pusat Pemeriksaan Tuas dan menemui dua bungkusan hitam disyaki mengandungi dadah terkawal yang disembunyikan dalam panel but belakang.

Pemeriksaan seterusnya oleh pegawai CNB menemui enam lagi bungkusan di beberapa ruang lain dalam kenderaan itu.

ICA dan CNB berkata dadah yang dirampas berpotensi menampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 Singapura, individu yang mengimport atau mengeksport lebih 15gram diamorfin (heroin tulen), lebih 250gram methamphetamine, atau lebih 500gram ganja boleh berdepan hukuman mati.

Dengan jumlah dadah yang ditemui, suspek berpotensi menghadapi hukuman paling berat jika disabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal