PUSPA VOICE 2.0 Platform Serlah Bakat Seni Suara Wanita Sabah

KOTA KINABALU: 6 Oktober 2025 – Program PUSPA Voice 2.0 berjaya menonjolkan bakat seni suara wanita tempatan sekali gus memperkukuh peranan wanita dalam bidang seni dan budaya di Sabah.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datuk Dr. Nuinda Alias, berkata kejayaan penganjuran edisi kali ini membuktikan komitmen berterusan PUSPANITA dalam membuka ruang kepada wanita untuk menyerlahkan bakat mereka di pentas terbuka.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya menjadi wadah mempererat silaturahim, mencungkil kreativiti dan meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti seni.

Menurutnya, PUSPA Voice 2.0 turut menjadi platform inklusif yang terbuka kepada semua wanita Sabah, termasuk peserta muda yang menunjukkan potensi besar sebagai pelapis masa depan seni suara negeri ini.

Dr. Nuinda turut berharap agar program itu dapat diteruskan dan diperluaskan meliputi bidang lain seperti tarian serta kebudayaan bagi memperkukuh ekosistem seni wanita di Sabah.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Kecil Kebudayaan PUSPANITA Cawangan Sabah itu menerima sebanyak 64 penyertaan, dengan 12 peserta mara ke peringkat akhir.

Keyrolina Roger dari PUSPANITA Daerah Tambunan muncul juara menerusi lagu Gundah dan I Surrender, menewaskan 11 finalis lain dengan persembahan vokal yang memukau.

Tempat kedua dimenangi oleh Michelle Kasianus dari PUSPANITA Penampang, manakala tempat ketiga diraih Nursyifa Zahirah Mohd Eirwan dari PUSPANITA Cawangan Sabah.

Selain itu, Anugerah Khas Finalis Popular diberikan kepada Naina Nasib dari PUSPANITA Sandakan, manakala Anugerah Persembahan Terbaik turut dimenangi oleh Michelle Kasianus atas mutu vokal dan penghayatan yang cemerlang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlijah Danin, serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebudayaan PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Noraisah Abdillah.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal