Tuesday, December 24, 2024

PRU15: 24 calon komponen PH bertanding Parlimen Sabah

PUTATAN: Empat parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon bagi 24 daripada 25 kerusi Parlimen Sabah yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 pada 19 November ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan bertanding di 10 kerusi Parlimen di Sabah manakala DAP (7), UPKO (5), MUDA (1) dan Amanah (1).

Senarai calon PKR adalah Ketua Cabang Tawau merangkap Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tawau dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Shari mempertahankan kerusi Parlimen Putatan.

PKR juga mengemukakan calon baharu iaitu Ketua Penerangan PKR Ranau, Apirin Jahalan Taufik Sham bagi kerusi Parlimen Ranau, di mana dalam PRU14 yang lalu, ia dimenangi Datuk Jonathan Yasin atas tiket PKR sebelum menyertai Bersatu.

Calon PKR lain ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Sangkar Rasam (Pensiangan); Ketua Cabang PKR Beaufort Dikin Musah (Beaufort), Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud (Sepanggar), Thonny Chee (Kudat), Madely Modily Bangali (Kota Belud), Arastam Pandorog (Semporna) dan Noraini Abd Ghapur (Kalabakan).

Calon-calon berkenaan menandatangani surat dan bon aku janji parti itu yang disaksikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Isnin.

Komponen dan rakan kerjasama PH juga sudah selesai membahagikan kerusi hampir kesemua 24 kerusi Parlimen di Sabah, kecuali kerusi Parlimen Kinabatangan yang masih dalam perbincangan.

Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sabah. Mereka yang akan bertanding adalah Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Ewon Benedick (Penampang), Peter Jr Naintin (Libaran), Rowindy Lawrence (Kimanis) dan Felix Joseph Saang (Beluran).

Madius yang juga presiden Upko akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Sementara itu, keputusan Ewon yang juga bakal menjadi presiden Upko untuk bertanding di Penampang pasti menjadi tumpuan pada PRU15 nanti.

Tindakan berani Ewon yang juga ADUN Kadamaian di kawasan Parlimen Kota Belud itu bakal menyaksikan pertandingan antara beliau dengan mantan Ahli Parlimen Penampang Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

Leiking sebelum ini sudah dua kali menang besar di Penampang iaitu dalam PRU13 dengan majoriti 10,216 undi dan PRU14 dengan majoriti lebih besar iaitu 23,473 undi.

DAP Sabah akan bertanding di tujuh Parlimen di negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Frankie Poon, pada Isnin.

Poon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat berkata, DAP Sabah akan mempertahankan tiga kerusi dengan mencalonkan penyandang masing-masing iaitu Naib Pengerusi DAP negeri Noorita Sual di Parlimen Tenom; Setiausaha Publisiti DAP negeri Vivian Wong Shir Yee (Sandakan); dan Ahli Jawatankuasa DAP negeri Chan Foong Hin (Kota Kinabalu).

Poon berkata, empat calon baharu terdiri Bendahari DAP Sabah Henry Shim Chee On bertanding di Parlimen Papar; Setiausaha Organisasi DAP negeri Liau Fui Fui (Batu Sapi); Pengarah Pendidikan Politik DAP negeri Grelydia Gillod (Keningau); dan Ahli DAP Oscar Sia Yu Hock (Lahad Datu).

Semalam, Amanah mengumumkan bertanding di 54 kerusi Parlimen seluruh negara dan satu daripadanya ialah di Sipitang, Sabah.

Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menamakan naib presidennya Shahrizal Denci sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kota Marudu.

Pengarah pemilihan parti itu, Amira Aisya Abd Aziz, ketika mengumumkannya berkata pencalonan Shahrizal itu adalah selaras dengan usaha MUDA untuk mempunyai wakil rakyat yang rapat dengan rakyat dan memahami isu mereka.

Shahrizal, 40, yang berasal dari daerah Ranau merupakan seorang petani moden dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dari Universiti Malaysia Perlis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov ini.

– BERNAMA

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights