Projek naik taraf sistem bekalan air Sandakan capai 94 peratus

119bfb2c 1edc 4795 8d1e 5070cd11da26 AA44B550 0A38 416B 82E4 2A92863E8383 1

KOTA KINABALU: 21 Julai 2026 – Projek menaik taraf sistem bekalan air di Sandakan yang merangkumi pembinaan beberapa tangki simpanan air kini mencapai 94 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap pada Januari 2027.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, berkata projek itu merupakan antara langkah jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kestabilan bekalan air di Sandakan termasuk Karamunting, Gum-Gum, Sekong, Senallang dan Tanjong Papat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Tszun Khee (Karamunting), Arunarnsin Taib (Gum-Gum), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Senallang), Alias Sani (Sekong) dan Thien Ching Qiang (Tanjong Papat) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurut Limus, projek itu melibatkan pembinaan tiga tangki simpanan air di Batu 16 Gum-Gum berkapasiti lima juta liter, Batu 7 Jalan Airport (10 juta liter), Batu 4 Tshun Ngen (10 juta liter), dan sebuah tangki imbangan berkapasiti 10 juta liter di Batu 12 Sungai Manila.

“Projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk pembinaan tangki simpanan air Sandakan kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 94 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.”

Beliau berkata, apabila siap kelak, projek itu akan membolehkan bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud disimpan dan diagihkan dengan lebih sistematik, sekali gus mengurangkan tekanan pada rangkaian paip sedia ada dan mengurangkan kebocoran paip.

Selain itu, Jabatan Air Sabah turut merancang memulihkan 10 telaga tiub sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Hilltop dan Sibuga sebanyak dua hingga empat juta liter sehari. Projek itu dijangka bermula tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Di samping itu, kerajaan turut memohon peruntukan untuk membina sebuah Loji Rawatan Air baharu di Segaliud berkapasiti 125 juta liter sehari, yang kini berada pada peringkat penyediaan reka bentuk sebelum pelaksanaan fizikal dipohon di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMK-13.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal