Papar, 5 Julai 2025 – Impian dua keluarga dari Parlimen Papar untuk memiliki kediaman selesa akhirnya tercapai apabila permohonan mereka di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diluluskan dan disempurnakan sepenuhnya.
Antara penerima bantuan tersebut ialah Rosmih @ Intan Awang, 53, seorang balu yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah. Sebelum ini, beliau bersama tiga anaknya tinggal di sebuah rumah uzur berusia lebih 20 tahun di Kampung Perumahan Kuala Papar.
“Dinding rumah sudah reput, atap bocor. Bila hujan, air masuk dan membasahi lantai serta perabot. Saya hanya berniat mahu membaiki sedikit, tapi tidak sangka dapat rumah baharu sepenuhnya dari kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, ke rumah baharunya baru-baru ini.
Seorang lagi penerima, Zuraidin Hais, 42, menyifatkan rumah baharu yang diterimanya sebagai hadiah terindah selepas lebih 15 tahun menumpang di rumah ibu bapa bersama isteri dan empat anak.
“Tahun lalu saya mohon bantuan ini, dan dua minggu lepas kami terima kunci rumah. Sebagai pengawal keselamatan, pendapatan saya cukup-cukup untuk sara keluarga. Kini, kami ada tempat sendiri untuk berteduh,” katanya.
Selain bantuan perumahan, Zuraidin turut menerima bantuan lain termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), zakat kerajaan negeri, serta bantuan tunai dari kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai bentuk sokongan, terutama bagi golongan miskin dan miskin tegar.
“Kerajaan Madani memastikan keperluan asas setiap isi rumah dipenuhi. Bantuan tunai seperti STR, SARA, dan SYUKUR terus diperkukuh selain pelaksanaan dasar gaji minimum dan kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan menilai sendiri keberkesanan bantuan serta mendengar terus suara rakyat.
“Saya sendiri bertanya kepada penerima. Ada yang menerima kesemua bentuk bantuan, STR sebanyak RM1,200 setahun, SARA melalui MyKad di premis rakan strategik, dan bantuan negeri secara berfasa melalui SYUKUR,” katanya.
Sumber, Sabah Post