PENAMPANG, 6 Ogos 2025 – Penantian selama puluhan tahun 91 penduduk Kampung Togudon, Penampang berakhir apabila mereka menerima geran tanah rasmi menerusi Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Penyerahan geran tanah tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepatkan proses pemilikan tanah kepada penduduk yang telah lama mengusahakan tanah secara turun-temurun tanpa jaminan hak milik yang sah.
Majlis penyerahan geran disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Tamu Desa Kampung Togudon. Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Alan Chua, mewakili Pengarah Jabatan, Datuk Sr Bernard Liew.
Antara penerima ialah Encik Gamato Galagub, 83, yang telah lebih 30 tahun mengusahakan tanah seluas lebih 15 ekar tanpa sebarang pemilikan rasmi.
“Sudah lama naik turun pejabat tanah, tapak kasut pun haus. Tapi saya tetap sabar. Hari ini saya sangat gembira,” katanya penuh emosi.
Dua beradik, Stephanie Seguty, 27, dan Helen Seguty, 23, turut menerima geran tanah yang diwarisi dari arwah bapa mereka.
“Dengan adanya geran ini, kami rasa lebih tenang. Ini bukan sekadar tanah, tetapi warisan keluarga kami yang akhirnya diiktiraf,” kata Stephanie.
Program PANTAS di Kampung Togudon telah dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2024, melibatkan kawasan seluas 982 hektar (2,426.57 ekar) dan dijangka merangkumi sekitar 400 lot tanah.
Fasa pertama menyaksikan penyerahan 91 geran, meliputi keluasan 157.37 hektar (388.86 ekar), hasil pengukuran yang bermula sejak 11 Ogos 2024.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama menanti pengiktirafan pemilikan tanah, malah turut membuka jalan kepada pembangunan ekonomi komuniti luar bandar secara mampan dan sah di sisi undang-undang.
Sumber: Utusan Borneo