KOTA KINABALU: 3 Ogos 2025 – UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap 25 kawasan Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Perkara itu disifatkan sebagai asas perundingan dan satu perkara yang “tidak boleh dirunding” (non-negotiable) oleh parti tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara logiknya, dengan kewujudan 25 bahagian UMNO di Sabah, maka adalah wajar bagi parti itu untuk meletakkan sekurang-kurangnya satu calon DUN bagi setiap Parlimen.
Menurut beliau, sasaran itu turut menjadi asas dalam rundingan kerusi antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH), yang kini sedang giat dijalankan menjelang PRN Sabah.
Mohamad Hasan berkata, jika UMNO bertanding satu kerusi di setiap Parlimen, maka akan ada 25 kerusi. Hal ini adalah logik berdasarkan struktur 25 bahagian UMNO di Sabah. Perkara ini menjadi asas perundingan dengan PH yang sedang berlangsung.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sumber media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan di sini, semalam. Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed serta barisan jawatankuasa bahagian tersebut.
Mohamad turut menyatakan keyakinannya bahawa perbincangan mengenai agihan kerusi akan dimuktamadkan tidak lama lagi, dan UMNO telah memberi mandat penuh kepada jawatankuasa perunding parti bagi mewakili mereka dalam rundingan itu.
Tambah beliau, UMNO komited memastikan parti atau sekurang-kurangnya gabungan Barisan Nasional (BN) mempunyai wakil di setiap kawasan Parlimen, sekaligus menjamin kehadiran yang menyeluruh dalam landskap politik Sabah.
Sumber: Sabah News Today