SANDAKAN: 26 Julai 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak bersubsidi dalam satu operasi di perairan Tanjung Papat, awal pagi tadi.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 1.10 pagi, sepasukan anggota dari PPM Sandakan mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kapal nelayan.
Pemeriksaan lanjut ke atas kapal tersebut membawa kepada penemuan sejumlah besar minyak diesel dan petrol yang diseludup secara haram.
Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa merampas sebanyak 32,800 liter minyak bersubsidi, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,020,240.
Seorang warga tempatan dan empat warga asing berumur antara 26 hingga 35 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan yang mengancam ekonomi negara, selain memastikan keselamatan perairan sentiasa terkawal.
Orang awam turut digesa agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram kepada pihak berkuasa sebagai langkah bersama mengekang jenayah rentas sempadan.
Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4