SANDAKAN: 22 Julai 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyimpan dan mengedar rokok seludup dalam satu operasi di Batu Sapi, Sandakan baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 11.30 pagi pada 20 Julai itu membawa kepada penemuan sebanyak 185 karton rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam sebuah garaj yang dijadikan tempat penyimpanan.
Dalam serbuan tersebut, dua lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,400.
Menurut kenyataan PPM Wilayah 4 Sabah, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.
Usaha membanteras aktiviti penyeludupan di perairan Sabah akan terus diperkukuhkan.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen usaha mengekang kegiatan penyeludupan dan menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kegiatan penyeludupan di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4