Penyanyi berbakat kelahiran Tambunan, Sabah, Elica Paujin, sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul POTILOMBUSON. Lagu ini hadir dengan mesej yang mendalam, mengangkat tema hidup yang penuh kepalsuan, pengkhianatan, dan keberanian untuk tetap menjadi diri sendiri.
Dinyanyikan dengan penuh emosi, Potilombuson menceritakan kisah tentang individu yang berpura-pura baik di hadapan, namun sebenarnya menyimpan niat buruk dan sering memburukkan di belakang. Ia menggambarkan rasa terluka apabila dikhianati oleh orang yang dipercayai, sesuatu yang ramai boleh kaitkan dalam kehidupan sendiri.

Namun, di sebalik duka itu, lagu ini menyalurkan kekuatan untuk bangkit, menerima kenyataan dan terus melangkah sebagai diri sendiri tanpa perlu berselindung di sebalik ‘topeng’ orang lain.
Menariknya, lagu ini bukan sekadar fiksyen atau rekaan semata-mata, malah diinspirasikan oleh pengalaman sebenar Elica sendiri. Dalam dunia yang penuh cabaran dan ketidaktentuan, beliau memilih untuk menjadikan muzik sebagai medium penyembuhan dan luahan isi hati.
Potilombuson merupakan hasil nukilan Elica Paujin sendiri bersama penulis lirik, Mico Ravellens. Lagu ini diproduksikan oleh Butod Bassman, yang berjaya menyusun irama yang menyatu sempurna dengan integrasi emosi dalam lirik.
Muzik video pula diarahkan oleh Einstein Majanil, yang menampilkan simbolisme visual yang kuat, menggambarkan konflik dalaman dan pembebasan dari belenggu kepura-puraan. Cinematografi yang kemas menjadikan lagu ini bukan sahaja merdu di telinga, malah indah di mata.
Di sebalik pelancaran lagu ini, Elica tidak lupa menghargai sokongan padu para peminat yang sentiasa berada di belakangnya, tanpa mengira bahasa, genre atau gaya muzik.
“Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya, tidak kira di mana saya berada dan apa jua lagu yang saya hasilkan. Sokongan anda amat saya hargai. Saya berharap lagu ini dapat diterima dan menyentuh hati anda semua. Teruskan menstrim ‘Potilombuson’ di semua platform digital.”
Potilombuson bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah kisah yang dilagukan iaitu kisah yang mengangkat suara mereka yang pernah terluka, tetapi tetap memilih untuk berdiri dengan teguh. Lagu ini menyeru kita agar berani membuka topeng, menerima diri sendiri, dan hidup dengan penuh kejujuran.
Dengarkan Potilombuson hari ini di semua platform penstriman digital, dan hayatilah mesejnya yang pasti menyentuh hati anda.