Tuesday, December 24, 2024

Potensi Sipitang sebagai hab industri minyak perlu dikembang: Hajiji

Majlis pemimpin bersama rajyat di Bandar Mingo, Sipitang.

BEAUFORT: Kerajaan Negeri merancang untuk mengembangkan potensi Sipitang sebagai hab industri minyak dan gas yang akan menjana aktiviti ekonomi penduduk dan membuka banyak peluang pekerjaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) melihat Sipitang ada potensi itu kerana ia mempunyai banyak kemudahan sedia ada untuk industri minyak dan gas di sini.

“Di Sipitang kita ada Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan kita sudah merancang untuk mengembangkan lagi taman ini agar dapat menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di sini.

“Kerajaan GRS-BN juga sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan syarikat besar di SOGIP membabitkan pelaburan kira-kira RM20 bilion.

“Inisiatif ini boleh mewujudkan antara 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan,” katanya di majlis pemimpin bersama rakyat di Bandar Mingo, di sini pada Isnin.

Bayangkan kata Hajiji, apabila ini terlaksana nanti, Sipitang akan menjadi daerah yang maju.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, dasar mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri itu akan menggalakkan lebih banyak pelaburan boleh dibawa masuk di Sipitang dan juga ke daerah lain di Sabah.

“Banyak lagi pelaburan lain selain di SOGIP termasuk di Kota Kinabalu dan daerah lain. Saya akan umumkan nanti apabila perjanjian sudah dibuat,” katanya menambah dasar mesra pelaburan itu diharap dapat tarik banyak pelabur datang.

Keutamaan kerajaan daripada inisiatif ini ialah untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights