Tuesday, December 24, 2024

Politik perpaduan, pembangunan beri kestabilan negeri

Ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi Sandakan, disambut oleh para penyokong parti dan penduduk kampung.

SANDAKAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menekankan politik pembangunan dan politik perpaduan sebagai landasan untuk membawa kestabilan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya.

“Politik yang mengikut emosi pula hanya membawa rakyat menderita tidak terbela manakala kawasan pula tidak dapat dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis
bersama rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi pada Rabu.

Atas sebab itu katanya, rakyat di daerah ini perlu memberi kemenangan kepada calon GRS Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan supaya mereka mendapat pembelaan dan pembangunan.

“Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan,
kemajuan dan politik perpaduan. Jangan pakai perasaan, ada yang kita tidak senang
hati sikit-sikit, tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi”.

Menurut Hajiji, mengundi calon yang tidak boleh membentuk kerajaan lagi rugi merugikan kerana pengundi hanya buang masa.

Beliau berkempen membantu calon GRS meminta penduduk di Batu Sapi, supaya mengundi Khairul Firdaus pada Sabtu ini untuk memastikan kemenangan calon GRS itu.

“Bagilah undi kepada beliau, insyaAllah dia akan bawa masalah di kampung ini kepada
saya dan kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan. Kita mesti menggunakan kebijaksanaan kita, kita tidak boleh berpolitik secara emosi,” katanya.

Hajiji berkata, GRS-BN komited dan berusaha untuk membawa Sabah menjadi sebuah negeri yang maju pada masa akan datang.

Katanya, Sabah mempunyai sumber yang banyak tetapi disebabkan politik, rakyat dan
pemimpinnya berpecah belah menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi kemajuan.

“Jadi cara paling baik untuk kita maju ke depan ialah dengan bersatu dalam politik ini. Kita sudah merangka program untuk kesejahteraan rakyat iaitu perumahan, jalan luar bandar, air, elektrik dan program memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19,” tegasnya.

Katanya, usaha untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah juga menjadi asas
pembentukan GRS yang mewakili pelbagai kaum dan latar belakang.

“Ini adalah mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Negeri yang lalu dan tugas kami adalah untuk membawa perubahan dan merancang pembangunan negeri ini melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights