KENINGAU: 15 Ogos 2025 – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket eksploitasi remaja selepas operasi khas dilancarkan di sekitar Keningau dan Kota Kinabalu, susulan laporan ibu bapa dua pelajar tingkatan dua yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Yampil Anak Garai, berkata hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah mendapati kegiatan itu dipercayai didalangi seorang wanita berusia 18 tahun yang menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa buah hotel sekitar daerah tersebut.
Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti mangsa dieksploitasi sebagai kanak-kanak dan remaja bawah umur yang digunakan untuk tujuan pelacuran.
Polis bertindak pantas menyelamatkan dua mangsa berusia 14 tahun mengikut peruntukan Seksyen 44 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Operasi yang dijalankan dari 24 hingga 29 Julai lalu turut menahan lapan individu berusia 16 hingga 43 tahun, termasuk empat wanita, yang dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut. Selain itu, dua lagi mangsa berumur 20 dan 21 tahun turut berjaya diselamatkan.
Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sabah dan suspek utama kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana memperdagangkan individu bagi tujuan eksploitasi seks.
Polis menegaskan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang akan diteruskan dan menyeru masyarakat tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan eksploitasi seksual, khususnya membabitkan kanak-kanak dan remaja.
Sumber: Kenyataan Media Polis Daerah Keningau