SEMPORNA: 4 Februari 2026 – Polis Daerah Semporna menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah menerusi satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna berkata, tangkapan dibuat di Kampung Panji, Semporna selepas suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika polis menjalankan pemeriksaan, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.
Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki jenis syabu dengan berat keseluruhan 5.57 gram.
Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, dipercayai warga asing, dan telah dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Sumber: Polis Daerah Semporna
