KUDAT: 29 Januari 2026 — Polis berjaya menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi menerusi beberapa operasi berasingan di sekitar daerah Kudat, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Hj Ibrahim, berkata operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kudat bersama pasukan Taskforce pada 1 Januari lalu di kawasan bangunan Ko-Nelayan Kudat dan tepi Jalan Pantai Bak-Bak.

Hasil serbuan menahan dua suspek sebelum tangkapan susulan dibuat pada 4 Januari di Kampung Tanjung Kapor dan Jalan Pinangsoo, diikuti penahanan seorang lagi suspek pada 5 Januari di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang.
Penahanan kelima-lima suspek membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah.
Siasatan mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di sekitar Kudat, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga dari mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379, Seksyen 380 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Sumber: Polis Daerah Kudat
