SANDAKAN: 17 Oktober 2025 – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini terus dipergiat apabila Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan melancarkan Ops Tapis Narkotik di sekitar kawasan bandar Sandakan, Sabah pada jumaat.
Operasi pertama dijalankan sekitar jam 10.00 pagi di kawasan Bandar Hsiang Garden, yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti penagihan dadah dan pada jam 12.00 tengah hari, serbuan diteruskan di Apartment Indah Jaya, Sandakan.
Hasil operasi tersebut, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Kedua-dua suspek ditahan di Lokap IPD Sandakan bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, berkata kejayaan operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini.
Sumber: Polis Daerah Sandakan