KOTA KINABALU: 23 Oktober 2025 – Polis Kota Kinabalu sedang mencari seorang lelaki yang disyaki mencuri seutas rantai tangan emas bernilai kira-kira RM3,500 di sebuah kedai emas di Wisma Merdeka.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di Kedai Emas Heng Cheng, tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan barang kemas tersebut.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Polis turut meminta bantuan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali individu dalam rakaman CCTV supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Shahrul Tarmizi Bin Shafiee di talian 013-8867917 atau menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-529222.
Polis menegaskan kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu menyelesaikan kes tersebut.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu

