15 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Pengumuman Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 5 Oktober lepas oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merupakan permulaan satu lagi fasa penting dalam landskap politik Sabah. Berdasarkan perkembangan yang berlaku, dinamika utama yang dijangka mewarnai pilihan raya kali ini termasuklah peranan media, kemunculan pengundi muda, dan strategi parti-parti politik yang bertanding.
Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada khamis ini, 16 Oktober, jam 10 pagi di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, diikuti sidang media pada jam 11 pagi.
Seperti lazimnya, media memainkan peranan penting dalam membuat liputan perkembangan pergolakan politik semasa. Satu kenyataan disusuli kenyataan di pihak lain seakan berbalas-balas pantun, malah ada masa-masa tertentu ia kelihatan seperti aksi permainan badminton, yang bertukar menjadi pentas sensasi rakyat.
Kebelakangan ini, portal-portal berita semakin banyak di laman sesawang, masing-masing membawa naratif mengikut kehendak penaja. Oleh itu, integriti hasil berita kadangkala tergugat kerana selain daripada kesilapan, terdapat kenyataan-kenyataan yang bersifat politik dan spekulasi. Maklumat dan naratif berita menjadi satu persoalan rakyat, terutama sekali dalam kategori politik.
Baru-baru ini, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah dengan tegas menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau menyokong mana-mana calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Marotai. Katanya, kenyataan berita portal itu tidak tepat dan mengelirukan, dan keputusan calon hanya akan dibuat melalui perbincangan jawatankuasa yang terdiri dari perwakian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
SPR mencatat 662,000 pengundi baharu di Sabah yang didaftarkan melalui sistem pendaftaran automatik dan kemasukan 18 tahun ke dalam senarai SPR. 30% daripada 1.786 juta pengundi berdaftar terdiri dari rakyat berumur antara 18 hingga 29 tahun.
Sejajar dengan perkembangan ini, parti-parti politik kini mensasarkan calon-calon muda. Presiden BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa parti itu akan menampilkan 81 peratus calon baharu, dan 50 peratus terdiri dari calon-calon muda pada Pilihan Raya Negeri ke-17 ini.
Menurut sumber yang dipercayai, parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga akan menampilkan calon-calon muda dan menambah calon-calon wanita dalam PRN17.
Ini menunjukkan anjakan paradigma dalam politik Sabah, di mana keberanian dan keupayaan untuk membawa idea-idea segar menjadi nilai tambah kepada calon-calon yang bertanding. Parti-parti lain dijangka turut mengikuti jejak yang sama.
Sementara itu PBS Tamparuli menegaskan bahawa calon parti mestilah dari kalangan pemimpin kelahiran tempatan yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat. Mereka berkata membawa masuk calon luar boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian parti, serta memberi tanggapan bahawa PBS Tamparuli kekurangan pemimpin tempatan yang berkebolehan.
Selain itu, hari ini Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membidas kenyataan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, yang mendakwa tiada parti tunggal yang mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang. Shafie mengingatkan bahawa ia pernah berlaku semasa era Berjaya dan PBS, dan ia masih boleh berlaku, dengan menekankan kuasa dan keputusan terletak pada rakyat dan bukan pakatan politik atau naratif luar.
Secara keseluruhannya, PRN Sabah Ke-17 menjanjikan persaingan yang sengit dan dinamik. Keberkesanan parti-parti politik dalam menangani isu-isu tempatan, menarik sokongan pengundi muda, dan mengekalkan integriti dalam penyampaian maklumat akan menjadi penentu utama kejayaan mereka. Lebih penting lagi, proses demokrasi yang telus dan adil perlu dipertahankan, memastikan suara rakyat Sabah didengari dan dihormati. Pilihan Raya Negeri ini bukan sekadar persaingan kuasa, tetapi juga peluang untuk membentuk masa depan Sabah yang lebih baik.