KOTA KINABALU: 3 Ogos 2025 – Kejohanan Bola Jaring Piala OSCA 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang setelah dua hari berlangsung di Gelanggang Tenis, Sutera Harbour. Kejohanan ini menyaksikan pasukan Phantom NC dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan.
Kejohanan anjuran Old Sabah Collegian Association (OSCA) ini berjaya menghimpunkan pelbagai pasukan dari kalangan alumni, komuniti serta kelab tempatan, sekaligus memperlihatkan semangat kesukanan dan nilai persahabatan yang tinggi dalam kalangan peserta.
Keputusan rasmi Kejohanan Bola Jaring Piala OSCA 2025 menyaksikan pasukan Phantom NC muncul sebagai johan selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan. Bambina NC pula dinobatkan sebagai naib johan, diikuti oleh Nova Blitz di tempat ketiga, manakala Grazetas menduduki tempat keempat.
Beberapa anugerah khas turut disampaikan kepada individu dan pasukan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan. Pearl Panthers menerima Anugerah Fair Play atas semangat kesukanan yang tinggi. Hazlyn Liaw dari pasukan Phantom NC dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, manakala rakan sepasukannya, Nur Hani Yunus, meraih gelaran Pertahanan Terbaik. Melcaar Portelip, juga dari Phantom NC, dianugerahkan sebagai Penjaring Terbanyak. Sementara itu, Echristella Geaordie Akup dari Bambina NC dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).
Dalam ucapan penutup kejohanan, Pengerusi Penganjur, Noran Addy bin Sukiran merangkap ahli OSCA menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat. Beliau mengibaratkan penganjuran kejohanan seperti sebuah anatomi tubuh manusia, setiap komponen penting memberikan peranan tersendiri demi memastikan kejohanan berjalan lancar.
Beliau turut menyentuh tentang pengorbanan di sebalik tabir oleh para sukarelawan dan rakan-rakan komiti yang memilih untuk berkhidmat sebagai penggerak kejohanan daripada turun bertanding, meskipun mereka berpengalaman sebagai pemain aktif.
“Semangat berpasukan bukan hanya di gelanggang, tapi juga di luar gelanggang. Ada yang datang dari jauh, ada yang beli sembilan helai baju hanya untuk sokongan moral,” katanya sambil memuji dedikasi semua pihak.
Kejohanan ini sekali lagi membuktikan bahawa OSCA bukan sekadar badan alumni, tetapi wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat yang berkongsi satu DNA – semangat Maktab Sabah.