PENAMPANG: Orang ramai dijemput hadir dan memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Penampang yang akan diadakan di Buhavan Square, Donggongon pada Ahad ini (18 Mei).
Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong, berkata sambutan tahun ini membawa tema “Kaamatan Montok Toinsanan” atau “Kaamatan untuk Semua”, yang mencerminkan semangat perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan rakyat Sabah.
“MPP dengan sukacitanya menjemput semua penduduk Penampang dan kawasan sekitarnya untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Kaamatan tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Pesta Kaamatan peringkat Daerah Penampang.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang juga Ahli Parlimen Penampang. Majlis ini turut akan disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook MPP.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung, termasuk pameran perkhidmatan kerajaan, jualan hasil pertanian dan perikanan, persembahan kebudayaan, sukan tradisional, persembahan artis tempatan, cabutan bertuah serta kemunculan istimewa juara Sugandoi Penampang 2025.
Acara kemuncak ialah pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah, di mana ratu kebudayaan akan dipilih untuk mewakili Penampang ke pertandingan peringkat Negeri di Hongkod Koisaan.
Sementara itu, Pertandingan Sugandoi peringkat daerah telah diadakan lebih awal pada 11 Mei lalu di Dewan Msgr. Wachter, Pusat Paroki St. Michael, di sini pada jam 7.30 malam.
Mesyuarat penyelaras tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Presiden MPP, Noemi Dyena; Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Parlimen Penampang, Alvin Lee; Pengerusi Sugandoi Penampang, Miklin Ationg; serta pengerusi jawatankuasa kecil dan wakil-wakil dari jabatan Negeri dan Persekutuan.