Pesta Kaamatan 2026, Perpaduan Kunci Kemajuan Sabah – Pairin

70fa3419 62a4 43b1 aee6 cb8e8e552683

PENAMPANG: 31 Mei 2026 – Sambutan Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang hari ini melahirkan mesej tegas tentang pentingnya perpaduan, keharmonian dan kerjasama dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah.

Presiden KDCA, Tan Sri DSP Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan yang dinikmati masyarakat hari ini hanya dapat dicapai melalui sikap saling memahami dan bekerjasama dalam setiap aspek kehidupan.

“Kegagalan untuk memahami dan bekerjasama hanya akan melambatkan proses pembangunan dan kemajuan yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak di Sabah,” katanya.

Mengimbas peranan generasi terdahulu, beliau berkata, asas perpaduan dan kemajuan yang dinikmati hari ini dibina melalui semangat bekerjasama, memahami kepelbagaian budaya, psikologi dan nilai kerohanian dalam masyarakat.

Beliau menegaskan masyarakat perlu bersatu padu dalam menghadapi sebarang pengaruh negatif demi melindungi masa depan dan kemajuan wilayah dan negara yang menjadi tempat tinggal bersama.

Walaupun Sabah telah mencapai banyak kemajuan, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan diperkasakan demi masa depan generasi akan datang.

“Negara jiran seperti Singapura boleh dijadikan contoh dalam aspek pembangunan dan pengurusan, tanpa mengabaikan identiti dan nilai tempatan,” tambahnya.

Pairin turut menggesa pihak kerajaan untuk mempertimbangkan dan meluluskan beberapa permohonan pembangunan termasuk pembangunan Nunuk Ragang, penubuhan kolej universiti, dan usaha membaik pulih bekalan elektrik di kawasan terlibat.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan budaya bekerjasama, bersatu padu dan hidup dalam harmoni demi keselamatan dan masa depan Sabah,” katanya mengakhiri ucapan sempena majlis penutupan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal