PENAMPANG: 15 Jun 2026– Polis menumpaskan kegiatan perjudian sabung ayam dalam satu serbuan khas di sebuah rumah kampung tanpa nombor di Kampung Buit Hills, Penampang, petang kelmarin, dengan penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Bin Newton berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan yang diterima.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas lapan ekor ayam hidup, satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan dan wang tunai berjumlah RM606 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian tersebut.
Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk membantu siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod sabitan jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap mereka didapati negatif.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melibatkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
sumber: polis daerah penampang
