PENAMPANG: 19 September 2026 — Penyatuan masyarakat Kadazandusun tidak bermaksud menghapuskan atau menyeragamkan identiti setiap etnik dan sub-etnik.
Timbalan Presiden KDCA, Datuk Jeffrey Kitingan, menegaskan setiap etnik dan sub-etnik mempunyai identiti, bahasa, dialek, adat, budaya, sejarah dan warisan tersendiri yang perlu terus dipelihara.
“Kita mempunyai pandangan dan pemahaman yang berbeza tentang identiti ini. Sebab itulah dialog ini penting. Kita perlu mendengar satu sama lain, melihat kembali sejarahnya, menjelaskan bagaimana identiti Kadazandusun berkembang dan mencari titik persamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Dialog Kadazandusun 2026 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.
Jelasnya, penerimaan identiti bersama tidak bermaksud mana-mana etnik perlu meninggalkan nama, bahasa, adat, budaya, sejarah, persatuan atau urusan komuniti masing-masing.
Tambah beliau, identiti etnik merupakan akar, Kadazandusun sebagai identiti kolektif manakala KDCA menjadi payung institusi untuk komuniti tersebut.
“Identiti etnik memberitahu asal-usul kita. Kadazandusun menghubungkan kita apabila kita berdiri bersama. KDCA menyediakan ruang untuk kita bekerjasama dan membawa kepentingan bersama,” katanya.
Jeffrey menekankan apabila sesuatu perkara menyentuh kepentingan bersama, semua pihak perlu berbincang dan mencari persefahaman.
Justeru, konsep “Satu Suara Bersama” tidak bermaksud semua pihak perlu sependapat dalam setiap perkara, sebaliknya membolehkan komuniti berdiri bersama dalam perkara yang dipersetujui sebagai kepentingan bersama.
Beliau turut menjelaskan, kejayaan dialog tidak sepatutnya diukur berdasarkan kiraan majoriti semata-mata, sebaliknya memerlukan persefahaman yang lebih luas, ikhlas dan berkekalan.
Menurut beliau, persefahaman itu akan menjadi asas untuk bergerak ke hadapan dan diterjemahkan melalui Piagam Perpaduan Kadazandusun.
“Kita tidak perlu menjadi sama untuk menjadi satu,” katanya.
Dialog Kadazandusun 2026 bertemakan “Penyatuan Dalam Kepelbagaian” itu menghimpunkan pelbagai etnik dan sub-etnik untuk membincangkan identiti bersama, kepelbagaian dan usaha memperkukuh persefahaman dalam komuniti Kadazandusun.

