KOTA KINABALU:12 November 2025 – Polis Daerah Kota Kinabalu akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan di beberapa laluan utama sekitar bandar raya sempena proses Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada 15 November ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda, berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan awam sepanjang proses penamaan calon berlangsung.
Penutupan jalan akan bermula pada 12.01 tengah malam, 15 November 2025 dan dijangka dibuka semula pada 12.00 tengah hari setelah semua urusan selesai.
Bagi kawasan Dewan Maksak (P.171), laluan dari arah Lampu Isyarat Istiadat ke simpang masuk Dewan Maksak akan ditutup sepenuhnya.
Orang awam dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Bulatan Golf atau Kompleks Sukan Likas, manakala penduduk Taman Kenari boleh menggunakan Laluan Lorong Kenari 1 atau 2 ke kediaman masing-masing.
Selain itu, laluan Jalan Teluk Likas dari arah Jalan Tuaran KK ke Dewan Maksak turut ditutup dengan sekatan jalan raya (SJR) yang didirikan berhampiran simpang masuk Lorong Burung Kenari 1.
Bagi kawasan LHDN (P.172), laluan dari arah Tuaran KK ke susur menuju Jalan Tunku Abdul Rahman akan ditutup dan semua kenderaan diarahkan menggunakan Flyover menuju ke Lampu Isyarat Kemajuan.
Laluan dari arah Bandaran ke Jalan Tunku Abdul Rahman di bawah flyover Karamunsing turut ditutup dengan lencongan ke Jalan Kemajuan.
Penutupan turut melibatkan laluan dari Bulatan Masjid Negeri ke Lampu Isyarat Karamunsing, di mana kenderaan awam akan dilencongkan melalui Jalan Belia (susur UTC).
Selain itu, laluan dari Bulatan Nenas ke susur menuju Lampu Isyarat Karamunsing juga akan dilencongkan ke Bulatan Capital.
ACP Kasim menasihati orang awam supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas polis di lokasi serta mengelakkan kawasan terlibat bagi mengurangkan kesesakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar dan selamat.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu

