Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya

Share the news

KOTA KINABALU, 29 April 2025 – Seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah motokar di Jalan Tun Fuad Stephen, berhampiran Mahkamah Syariah di sini, pagi tadi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi apabila sebuah motokar yang dipandu seorang lelaki berumur 30-an dari arah Jalan UMS menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, terlibat dalam perlanggaran dengan motosikal mangsa.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang tepi sebelah kanan motokar terbabit.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

Pemandu motokar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan jarak selamat antara kenderaan sentiasa dikekalkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal