Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal Suzuki ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Tuaran Batu 7, Kota Kinabalu, semalam.
Kemalangan kira-kira jam 1.20 petang itu membabitkan motosikal Suzuki dan kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 59 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kereta itu bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah belakang oleh motosikal mangsa.
Pelanggaran berlaku pada bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Likas. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu
