Penulis Sabah, Siti Syazurah Hidupkan Keunikan Budaya Kadazan Dusun Dalam Novel “Mantera”

photo 2025 10 29 20 54 15

KOTA KINABALU: 29 Oktober 2025 — Penulis novel dan skrip berasal dari Sabah, Siti Syazurah binti Mohd Anwar, atau lebih dikenali sebagai Zura, terus menyerlah dalam dunia kesusasteraan tanah air apabila berjaya menzahirkan elemen budaya tempatan melalui novel terbarunya, “Mantera.”

Zura yang kini bergiat sebagai penulis sepenuh masa turut aktif dalam pengarahan serta penulisan skrip filem pendek, mendedahkan bahawa proses menghasilkan Mantera bermula daripada sinopsis dan skrip filem asal yang diberikan oleh pengarah.

“Saya baca dan fahami jalan cerita terlebih dahulu sebelum menonton filem asal. Selepas itu barulah saya mula membuat plotting dan menulis manuskrip penuh,” jelasnya.

Menurut beliau, cabaran utama dalam proses penulisan ialah menyesuaikan bentuk visual daripada skrip kepada bentuk naratif dalam novel. Untuk memahami emosi dan jiwa watak dengan lebih mendalam, beliau meminta izin menonton filem penuh sebelum ia ditayangkan kepada umum.

photo 2025 10 29 20 54 20

“Skrip hanyalah gambaran visual. Tapi selepas menonton filem penuh, barulah saya dapat ‘feel’ sebenar tentang cerita dan emosi setiap watak,” katanya.

Dalam mendalami isi dan latar budaya Mantera, Zura turut melakukan kajian tambahan mengenai kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun, khususnya watak Bobolian, yang menjadi teras penceritaan novel ini.

“Saya banyak membaca dan meneliti perkongsian tentang upacara Bobolian di laman sosial. Dari situ, saya cuba memahami motivasi serta emosi yang mungkin ada dalam diri seorang Bobolian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zura menyatakan bahawa Mantera bukan sekadar kisah seram semata-mata, tetapi turut menyentuh isu budaya, kepercayaan, serta nilai persahabatan dan kekeluargaan.

 “Saya harap pembaca dapat belajar sesuatu daripada Mantera. Ia bukan hanya tentang hantu, tapi tentang kesedaran manusia terhadap amalan ritual dan nilai kemanusiaan dalam konteks budaya tempatan,” tambahnya.

Menjadikan diri sendiri sebagai sumber semangat utama, Zura turut menghargai sokongan keluarga dan pembaca yang sentiasa memberi dorongan dalam perjalanan penulisannya.

 “Selagi saya mampu dan mempunyai kudrat untuk menulis, saya akan terus menulis,” katanya dengan penuh tekad.

Dengan semangat memperkasakan karya tempatan dan memperkenalkan warisan budaya Sabah ke persada nasional, Mantera dilihat sebagai satu karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik dan membangkitkan rasa bangga terhadap identiti etnik tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal