Monday, December 23, 2024

Pengundi muda ‘kingmaker’ dalam PRU15

April Maily

KOTA KINABALU: Menyumbang kira-kira separuh daripada pengundi di Malaysia, pengundi muda memain peranan penting dalam pilihan raya umum negara kali ini dan kemungkinan besar menjadi peneraju atau “king maker” dalam menantukan keputusan PRU15.

Esok Sabtu (19 November) rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memutuskan siapa kerajaan seterusnya.. Pemilihan kali ini amat penting selepas negara ini dilanda ketidakstabilan politik dan tiga perdana menteri bertukar-tukar sejak pilihan raya pada 2018.

Empat pakatan akan bertanding iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Gerakan Tanah Air.

Lebih 21 juta rakyat Malaysia layak mengundi di mana 1.39 juta atau 6.5 peratus daripada mereka adalah pengundi kali pertama berumur di antara 18 dan 20 tahun, menurut data yang dikeluarkan oleh suruhanjaya pilihan raya.

Individu berumur 18 hingga 20 tahun buat pertama kali boleh mengundi selepas pindaan perlembagaan 2019 yang menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun yang membolehkan mereka berdaftar secara automatik.

Ramai yang percaya ini boleh menjadi penentu dan mengubah senario dalam PRU15.
Kira-kira 21.7 peratus pengundi yang layak berumur 21 hingga 29 tahun, manakala 22.1 peratus adalah mereka yang berumur antara 30 hingga 39 tahun.

Secara kolektif, ketiga-tiga kumpulan demografi ini menyumbang 50.3 peratus daripada pengundi Malaysia, menjadikan mereka blok pilihan raya terbesar dan undi mereka penting dalam menentukan gabungan yang menang.

Presiden Parti Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau percaya pengundi muda adalah penentu yang “memegang kunci Putrajaya” dan mampu memilih kerajaan yang layak.

“Mereka mahu menilai keupayaan parti, platform, cadangan, dasar dan penyelesaian kepada masalah mereka,” kata Syed Saddiq di Lakeside Campus Taylor University pada 8 November, demikian dilapor Sinar Daily.

Walaupun membentuk sebahagian besar daripada jumlah pengundi, kematangan politik pengundi yang berumur 18 hingga 20 tahun adalah dipersoalkan kerana mereka mungkin belum begitu celik politik dengan pengetahuan mereka yang terhad.

Tinjauan yang dikeluarkan oleh Merdeka Center pada Mei 2021 mendedahkan bahawa lebih dua pertiga pengundi muda tidak berminat dalam politik. Hanya 30 peratus belia, kebanyakannya daripada etnik Melayu dan mereka yang berpendapatan tinggi, menunjukkan minat dalam politik.

Menurut hasil tinjauan, 78 peratus golongan muda berusia 18 hingga 22 tahun berkata mereka tidak memahami apa yang berlaku dalam politik Malaysia dan 65 peratus percaya ahli politik “tidak tidak peduli apa yang orang seperti kami fikirkan.”

Pengundi muda yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu meletakkan isu kewangan dan pekerjaan sebagai dua kebimbangan paling mendesak mereka. Dari segi pendedahan politik, 46 peratus peserta berkata mereka belajar mengenai politik melalui media sosial.

Bagaimanapun, penggunaan media sosial di kalangan pengundi muda menimbulkan persoalan tentang potensi berlaku penyebaran maklumat salah yang mungkin mereka timba mengenai politik negara ini.

Tai Zee How, penganalisis politik dan personaliti media sosial Malaysia, menjelaskan bahawa generasi muda di Malaysia terdedah kepada maklumat yang salah kerana mereka bergantung banyak kepada kandungan dalam media sosial.

“Sudah terbukti di media sosial yang lebih ramai rakyat Malaysia berminat dalam politik sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Malangnya, mereka lebih berminat untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah serta menggunakan bahasa yang tidak sopan,” kata Tai kepada Bernama.

Parti politik menggunakan media sosial sebagai medan perang dan mendekati pengundi muda.

Contohnya pilihan raya Filipina di mana Ferdinand Marcos Jr, anak lelaki mendiang bekas diktator negara itu, “mempersenjatakan” media sosial untuk membentuk semula naratif mengenai sejarah keluarganya dan mempengaruhi persepsi pengundi muda.

Mendiang bapanya, Ferdinand Marcos Sr memerintah Filipina selama dua dekad sejak 1965 dan memulakan undang-undang tentera pada tahun 1972, mengakibatkan beribu-ribu penentang dipenjara, dibunuh dan hilang tanpa jejak.

Ramai yang percaya bahawa kempen media sosial strategik Marcos Jr membantu memulihkan reputasi keluarganya dan akhirnya membawa kepada kemenangan pilihan rayanya, menurut laporan berita.

Datuk Dr Jeniri Amir, felo kanan di Majlis Profesor Negara, menyeru pengundi muda membuat keputusan yang bijak semasa mengundi dan mengelak daripada terpengaruh dengan kandungan media sosial.

Beliau menggesa pengundi untuk mengesahkan fakta dengan merujuk sumber yang boleh dipercayai.

“Adalah penting bagi anak-anak muda untuk tidak menelan setiap maklumat yang mereka baca di media sosial kerana sebahagian kandungannya disiarkan oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

“ Jika mereka percaya semua yang mereka baca, keputusan mereka di peti undi nanti mungkin dipengaruhi oleh apa yang mereka baca,” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights