Pengharaman vape dilaksanakan secara berfasa bermula dengan sistem terbuka

KUALA LUMPUR: 10 September 2025 – Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pengharaman vape secara berfasa bermula dengan sistem terbuka sebelum diperluaskan kepada semua jenis produk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu diambil bagi membendung penyalahgunaan rokok elektronik atau vape yang memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menjelaskan, pengharaman penuh akan merangkumi keseluruhan produk vape, namun tempoh masa pelaksanaannya belum diputuskan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengadakan perbincangan bersama beberapa kementerian dan agensi utama sebagai persediaan awal.

Antara yang terbabit ialah Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Pejabat Penasihat Undang-undang.

Cadangan pelaksanaan pengharaman itu akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Dzulkefly berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Negara ketika menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai kesediaan kerajaan mengharamkan penjualan vape seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negeri.

Beliau menegaskan langkah tersebut penting untuk memastikan kesihatan rakyat awam terus dilindungi daripada risiko penyakit akibat penggunaan produk berbahaya.

Dalam masa sama, KKM menyokong keputusan enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Sumber: Buletin Tv3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal