Penganggur Dicekup Bersama Syabu di Tawau

TAWAU: 23 September 2025 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama dadah disyaki jenis syabu dalam serbuan di Kampung Pasir Putih, pada 21 September.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sekitar jam 1.35 tengah hari selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut menemui satu bekas plastik hijau berisi empat peket lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 5.63 gram dengan anggaran nilai pasaran RM500.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana mengambil dadah.

ACP Jasmin memaklumkan pihaknya masih menjalankan risikan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Tawau.

Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal