KOTA KINABALU: 28 Oktober 2025 – Pelancaran novel pertama Sabah yang diadaptasikan daripada filem, MANTERA, menjadi satu lagi perkembangan membanggakan dalam industri kreatif Sabah. Kejayaan ini menyusul selepas filem tempatan, Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis, yang berjaya meraih kutipan RM1.5 juta dalam masa dua (2) minggu tayangan dan memegang rekod sebagai filem dengan kutipan tertinggi Sabah.
Majlis pelancaran novel telah disempurnakan oleh Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), bertempat di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam ucapannya, Julinus memaklumkan bahawa selain mempromosikan Sabah dengan pengembaraan (adventure) dan keindahan alam semula jadi (nature), STB juga aktif mempromosikan Sabah melalui kebudayaan (cultural).
”Dalam filem Mantera, unsur-unsur budaya dipromosikan dan ia sesuai sebagai tontonan yang berunsur pendidikan. Dengan memposisikannya sebagai warisan dan budaya, ia akan menjadi satu produk pelancongan ke arah pelancongan pendidikan (education tourism).”
Beliau turut menyatakan bahawa jambatan gantung terpanjang di Kg. Toboh Tambunan yang ditonjolkan dalam filem Mantera kini telah menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong.
Sehubungan itu, STB akan terus membantu memartabatkan industri filem dengan menjalin kerjasama erat bersama para penggiat kreatif, terutamanya melalui persatuan seperti Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA).
”Julinus turut berkongsi berita gembira mengenai sebuah produksi terkenal dari Kollywood, Selatan India, yang telah membuat tinjauan lokasi di beberapa tempat menarik di Kundasang dan Ranau. Filem ini dijangka akan menarik ramai pelancong ke Sabah apabila ia ditayangkan kelak.
”Saya juga telah memaklumkan kepada Chester Pang, mengenai kesediaan Presiden Persatuan Filem India untuk datang ke Sabah pada bulan November depan bagi mengadakan perbincangan dan libatsama (engagement) bersama Persatuan Filem dan Visual Sabah,” tambahnya.

Sementara itu, Prof. Dr. Zairul Anuar Md. Dawam dalam ucapannya berkata UMS baru sahaja membuka program filem dan telah menerima seramai 35 pelajar untuk kumpulan pertama.
Dr. Zairul, yang juga Dekan ASTiF, UMS, optimis bahawa pembangunan industri kreatif dan filem yang mapan di Sabah akan membuka peluang kerjaya yang luas kepada graduan-graduan UMS dalam bidang yang mereka ceburi.
Terdahulu, Chester Pang, Pengarah Filem Mantera, memaklumkan bahawa penghasilan novel Mantera mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan. Novel ini merupakan adaptasipertama beliau dari layar perak ke halaman buku, yang ditulis oleh penulis Best-seller, Zura Anwar. Untuk mendapatkan naskah Mantera boleh whatsapp ke nombor 013-9924866.
Filem Mantera telah ditayangkan di 52 pawagam di seluruh Malaysia dan satu (1) di Brunei pada 24 April 2025 yang lalu.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Zahm Zulkifli, Penerbit filem Mantera, Zura Anwar, novelis, Jovenea Jim, pelakon utama Mantera, penerbit dan pengarah filem Sabah, wakil dari Perpustakaan negeri Sabah dan Sabah Creative economy and Innovation Centre, wakil-wakil persatuan, penggiat filem serta pelajar tahun satu program filem ASTiF, UMS.

