Oleh David E.G.
KOTA KINABALU: 21 Mac 2025 – Dua pilihan akan dipertimbangkan, sama ada bertanding sebagai GRS atau GRS Plus dalam perbincangan yang akan diadakan selepas Adilfitri, kata Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
“Kami telah menghantar cadangan untuk agihan kerusi untuk semua, dan ada formula, tetapi belum dibincangkan.
“Kami sedang menunggu mesyuarat selepas (Hari Raya) Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar setelah selesai acara perasmian Pejabat STAR di Luyang hari ini.
GRS mempunyai lapan parti komponen termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Liberal Democratic Party, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah, dan Sabah Progressive Party.
Kerajaan Sabah kini ditadbir bersama oleh GRS dan Pakatan Harapan Sabah.
Ketika ditanya sama ada agihan tersebut akan mengganggu dinamik kerja antara parti-parti gabungan, Jeffrey menolak kebimbangan tersebut dan berkata itulah sebabnya ada pilihan kedua.
Mengenai potensi calon STAR dalam PRN17, beliau berkata parti terbuka untuk bertanding di semua kawasan, termasuk Luyang.
Namun keputusan muktamad akan dibuat kemudian dan harus berdasarkan potensi untuk memenangi kerusi-kerusi tertentu.
Kitingan yang juga Presiden STAR sebelum ini berkata parti itu menyasarkan 16 kerusi negeri, termasuk yang berada di kawasan bandar.
“Saya berasa lebih yakin sekarang berbanding sebelum ini bahawa masyarakat Cina lebih mengutamakan parti tempatan.
“Ini membolehkan kita menjadi lebih kukuh, seperti Sarawak, dan bekerjasama untuk mencapai aspirasi kita, menjamin hak kita, termasuk hak istimewa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Star memenangi enam daripada lapan kerusi yang ditandinginya semasa pilihan raya negeri ke-16 iaitu Bingkor, Tambunan, Tulid, Paginatan, Liawan, dan Sook; semuanya terletak di kawasan pedalaman Sabah.