Pemberian biasiswa pengajian bahasa etnik Sabah wajar disokong – Ewon

photo 6111644677762125113 y

PENAMPANG: 21 Februari 2026 – Pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada pengajian bahasa etnik Sabah di university wajar disokong demi menggalakkan lebih ramai pelajar, untuk melahirkan lebih ramai tenaga pengajar bahasa etnik di sekolah, sekali gus memastikan kelestarian bahasa ibunda masyarakat Sabah.

Justeru, cadangan pemberian BKNS itu akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah pada mesyuarat kabinet negeri, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Ebin pada sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun di Dewan Huguan Siou, Kampung Tuavon, hari ini.

photo 6111644677762125117 y

“Pada masa ini bahasa Kadazandusun sudah menjadi kurikulum pendidikan negara di sekolah rendah dan menengah di Sabah. Usaha memperkenalkan empat lagi bahasa etnik iaitu Kadazan Tangaa, Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana juga sedang dimurnikan,” katanya.

Menurut Ewon, cadangan pemberian BKNS akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah dan mesyuarat kabinet negeri bagi menyokong pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Sabah yang menawarkan program berkaitan.

photo 6111644677762125116 y

Dalam majlis sama, Ewon turut melancarkan Webonary Kadazan–Malay–English yang menghimpunkan 36,673 entri bahasa Kadazan dan 29,387 entri bahasa Melayu.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah meluluskan peruntukan RM100,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen Penampang dan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kota Kinabalu Industrial Park bagi menyokong usaha pembangunan bahasa ibunda etnik Sabah oleh yayasan berkenaan.

photo 6111644677762125115 y

Beliau turut bersetuju menyalurkan RM50,000 kepada Persatuan Bahasa Etnik Sabah untuk membangunkan lebih banyak bahan pendidikan bagi bahasa etnik yang dicadangkan diperkenalkan di sekolah.

Sambutan tersebut turut menampilkan penyampaian Anugerah Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok kepada pemenang pertandingan novel bahasa Kadazandusun anjuran yayasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal