Tuesday, December 24, 2024

Pembangkang tiada kuasa menuntut hak Sabah: Joniston

Joniston berucap di Majlis Bersama Rakyat di Kampung Kauluan, malam Selasa.

Mohd Syukrie Johary

TAMPARULI: Pembangkang tidak dapat melakukan apa-apa walaupun cuba menuntut hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat tawar menawar.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai berkata, hanya kerajaan GRS dan Barisan Nasional (BN) yang boleh berbuat demikian, kerana kedua-duanya juga mempunyai hubungan baik.

“Macam mana pembangkang menuntut hak Sabah, sedangkan mereka hanyalah pembangkang,” katanya.

Joniston berkata, sewaktu gabungan kerajaan WARISAN-UPKO berkuasa, mereka hanya menerima bulat-bulat pemberian khas Kerajaan Persekutuan bernilai RM26 juta kepada Sabah tanpa sebarang usaha mohon tambahan.

Joniston berucap di Majlis Bersama Rakyat di Kampung Kauluan, malam Selasa.

“Ini kerana kerajaan WARISAN-UPKO takut menuntut lebih daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Sabah tidak boleh lagi menerima jumlah yang kecil pemberian khas Kerajaan Persekutuan, memandangkan kos membangunkan negeri ini memerlukan perbelanjaan cukup besar.

Katanya, hasil perjuangan kerajaan GRS-BN juga, hampir semua syarikat pengeluar minyak yang beroperasi di negeri ini bersetuju membayar cukai minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

“Tahun ini sahaja, kerajaan negeri dijangka memperoleh RM2 bilion hasil kutipan cukai minyak dan gas,” katanya.

Katanya, kewangan yang diperoleh kerajaan negeri itu akan digunakan untuk membiayai pembinaan 1,000 rumah rakyat miskin di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan GRS-BN akan meneruskan perjuangan menuntut hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan sehingga mencapai kejayaan.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights