GEORGE TOWN: 5 September 2025 – Seorang pemandu lori makanan sejuk beku sanggup menikam perutnya sendiri dalam cubaan menipu majikan kononnya wang syarikat yang dibawanya berjumlah RM3,000 telah disamun.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 malam di Jalan Minden 1, Gelugor, semalam.
Lelaki berusia 35 tahun itu pada awalnya mendakwa diserang tiga individu sebelum wang hasil kutipan jualan harian syarikat dilarikan.
Namun, siasatan polis mendapati dakwaan tersebut tidak benar.
Wang tersebut dipercayai telah digunakan oleh suspek sendiri sebelum mereka-reka cerita samun bagi mengaburi majikan.
Suspek ditemui cedera dalam lori syarikat oleh seorang pekerja lain selepas majikannya menghantar bantuan ke lokasi.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Menurut polis, luka pada perut suspek berukuran kira-kira 3.5 sentimeter dalam dan dipercayai dilakukan menggunakan sebilah pisau sepanjang 22.5 sentimeter.
Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu.
Sumber: tvs