KOTA KINABALU: 17 Januari 2026 – Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka terus memperkukuhkan pembaharuan penting perundangan dan institusi di Sabah.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, dalam ucapannya di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 bagi Sabah dan Sarawak berkata, tahun ini akan menyaksikan kemajuan signifikan pelaksanaan MA63, termasuk kemungkinan pengaktifan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kuasa kepada Sabah untuk menggubal undang-undang berkaitan sisa terjadual.
“Langkah ini akan membolehkan Sabah meminda Enakmen Perlindungan Alam Sekitar untuk mengawal selia bahan berbahaya di negeri ini, serta mengukuhkan peranan dan kuasa negeri dalam pengurusan alam sekitar,” katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri berusaha menuntut semula kuasa kawal selia sektor pelancongan, kuasa yang asalnya di bawah bidang kuasa negeri sebelum dipindahkan ke Senarai Persekutuan pada tahun 1994. Pengembalian kuasa ini dilihat penting bagi menyesuaikan dasar dengan keunikan geografi dan potensi ekonomi Sabah.
Brenndon turut menyambut baik peranan Yang di-Pertua Negeri (TYT) dalam memperakukan calon Pesuruhjaya Kehakiman, justeru menggesa pindaan Akta Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dan Perlembagaan Persekutuan, untuk mengembalikan kuasa tersebut secara rasmi kepada negeri.
Selain itu beliau turut menekankan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang perundangan, sambil menegaskan bahawa teknologi itu tidak dapat menggantikan sepenuhnya pertimbangan profesional dan etika manusia.
