Pelajar Pedalaman KV Keningau Rangkul Kemenangan Sabah Hackathon Dengan Inovasi ‘Hydrocondense

photo 2025 11 27 10 22 36

KENINGAU: Sekumpulan pelajar program Teknologi Elektrik Kolej Vokasional (KV) Keningau telah dinobatkan menjadi salah satu daripada tiga pemenang Sabah Hackathon IPT Edition dan menerima dana berjumlah RM 2,500 dengan projek tahun akhir mereka, Hydrocondense.

Pertandingan ini merupakan anjuran Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Cradle Fund Sdn Bhd yang berlangsung daripada 18 November sehingga 20 November 2025 di TAR UMT dan seterusnya di hotel Hilton, Kota Kinabalu, pada hari terakhir.

photo 2025 11 27 10 22 39

Pasukan ini diwakili oleh Claijster Christian Sylvester beserta dua orang rakan seperjuangannya iaitu Alleyson Voo dan Alleyya Deeva Tommy.

Seramai 115 pelajar daripada 39 pasukan telah menyertai pertandingan ini dimana 10 pasukan mara ke peringkat akhir setelah pembentangan peringkat awal dijalankan pada hari kedua hackathon ini. 

Daripada 10 finalis yang membentang pada hari terakhir, tiga pasukan terbaik dipilih sebagai pemenang iaitu Juicy Tech daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Aquafeeder Bot daripada Politeknik Sandakan dan seterusnya Bolt MUV daripada KV Keningau yang mewakili kawasan pedalaman Sabah.

photo 2025 11 27 10 18 10

Ketiga-ketiga pemenang ini menerima dana berjumlah RM 2,500 untuk membangunkan lagi projek masing-masing. Mesin yang dicipta oleh pasukan ini mampu mengekstrak wap air daripada udara dan menukarnya menjadi air bersih yang boleh diminum.

Sasaran utama projek ini adalah komuniti di kawasan pedalaman yang kadang kala memerlukan bekalan air bersih sewaktu masa darurat seperti bencana alam dan ini juga seterusnya menjadikan agensi bantuan kemanusiaan sebagai salah satu kumpulan sasaran pasukan ini.

Mereka bercadang untuk menjual mesin ini dalam lingkungan RM 199 sehingga 229 dengna mengambil kira kos pembuatan. Pasukan ini pernah menjadi naib johan Youth Innovative Challenge peringkat negeri Sabah anjuran Yayasan Inovasi Malaysia pada bulan Ogos 2025 dengan hadiah wang tunai berjumlah RM 1,500.

Mereka juga pernah memenangi pingat emas di Sabah Festival of Ideas pada bulan Oktober pada tahun ini. Pasukan ini bercadang untuk menggunakan wang yang dimenangi untuk membuat kajian pasaran serta memohon paten bagi projek tersebut.

photo 2025 11 27 10 18 03

Pasukan ini dibimbing oleh Ts. Haini Kotin dan diurus oleh Andy Jacob Goromong yang merupakan guru teknologi elektrik di kolej tersebut.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan ini kerana ianya membuktikan kemampuan pelajar kolej vokasional untuk bersaing dengan institut pengajian tinggi dan dalam masa yang sama menunjukkan impak positif pendidikan kolej vokasional yang melatih para pelajar untuk menghasilkan inovasi yang mampu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal