Pekerja berkualiti aset penting kejayaan organisasi – Dr Jeffrey

Konvensyen buruh ddjk2

KENINGAU: 9 April 2026 – Pekerja berkualiti merupakan aset amat penting dalam sesebuah organisasi, di mana kejayaan organisasi banyak bergantung kepada kualiti yang dimiliki para pekerja.

Pengekalan pekerja, katanya, membantu pekerja terus mendapat pekerjaan serta meneruskan kelangsungan hidup, manakala pihak majikan pula memperoleh bekalan sumber manusia dan kepakaran terutama daripada golongan profesional untuk menggerakkan operasi organisasi.

Ahli Parlimen Keningau, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata demikian di Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Keningau kelmarin.

buruh konvensyen ddjk 2b

Konvensyen yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Kementerian Sumber Manusia itu disertai lebih dari 400 peserta terdiri daripada majikan, pegawai sumber manusia pelbagai sektor, wakil persatuan majikan, wakil kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pelajar sekolah, serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dr Jeffrey berkata, maklum balas positif dari peserta konvensyen sebelum ini bukan sahaja menunjukkan iltizam dan komitmen tinggi seluruh warga industri di Sabah, tetapi memperlihatkan betapa pentingnya agenda sebegini dilaksanakan bagi membincangkan isu-isu perburuhan negara.

Turut ditekankan ialah isu perburuhan di Sabah yang agak unik dan berbeza berbanding Semenanjung Malaysia serta Sarawak.

Beliau menjelaskan antara cabaran yang dihadapi termasuk kebergantungan ekonomi kepada golongan pekerja tidak diliputi di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) seperti pemegang IMM13, pemegang Sijil Banci, pemegang Kad Burung-Burung, golongan stateless (Pala’u) dan Pendatang Tanpa Izin (PATI).

Selain itu katanya, Sabah juga mencatatkan kadar pengangguran tertinggi negara iaitu 5.4 peratus, manakala lebih 90 peratus majikan berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKE), sekali gus memberi impak kepada pematuhan dasar dan perundangan perburuhan.

Faktor geografi dan amalan pekerjaan tradisi turut mempengaruhi kemampuan majikan dari segi median gaji yang rendah berbanding Perintah Gaji Minimum 2024, seterusnya menyumbang kepada penghijrahan rakyat Sabah ke Semenanjung Malaysia mahupun ke luar negara.

“Kerajaan Sabah akan terus menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu Ekonomi MADANI yang bertujuan memperkasa rakyat, selain sentiasa terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan pembangunan modal insan dan memperkasa pelaksanaan undang-undang perburuhan di Sabah.

“Saya menyeru semua peserta agar meraih sepenuh manfaat bersempena konvensyen ini,” katanya sambil menyeru semua peserta menggunakan platform itu untuk menyalurkan pandangan dan cadangan bagi memantapkan industri perburuhan Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal