KOTA KINABALU: 20 Ogos 2025 – Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan kononnya anak guam mereka sedang mengutip derma peribadi atau untuk membayar yuran guaman.
Dalam kenyataan bersama, pasukan guaman diketuai Hamid Ismail bersama Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasse menjelaskan bahawa nombor akaun bank yang tersebar di media sosial pernah digunakan untuk menerima sumbangan awam beberapa hari selepas kematian Zara.
Mereka berkata, kutipan itu telah dihentikan sejak sekian lama dan tidak lagi digunakan untuk sebarang tujuan baharu. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan maklumat palsu yang tular.
Pasukan guaman tersebut menegaskan bahawa sebarang bentuk sumbangan wang hanya boleh disalurkan secara fizikal kepada keluarga atau menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik secara rasmi.
Mereka turut menambah bahawa perkhidmatan guaman diberikan kepada keluarga berkenaan secara pro bono atau percuma.
Sumber: Buletin TV3