PDRM Tumpaskan 118 Premis Hiburan Tanpa Lesen

photo 2025 11 11 13 41 52

KUALA LUMPUR: 9 November 2025 — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan hampir 400 individu dalam operasi besar-besaran membanteras premis hiburan tanpa lesen di seluruh negara pada 7 dan 8 November lalu.

Operasi bersepadu yang digerakkan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama jabatan siasatan jenayah kontinjen, pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu memberi tumpuan kepada pusat hiburan tidak berlesen.

Hasil operasi, sebanyak 118 premis hiburan diperiksa dan 103 daripadanya dikesan beroperasi tanpa lesen sah.

PDRM turut menahan 398 individu, terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus, 150 pekerja, 112 pelanggan serta 128 GRO warga asing.

Daripada jumlah itu, 87 rakyat tempatan (76 lelaki, 11 wanita) dan 311 warga asing (151 lelaki, 160 wanita) ditahan. Selain itu, polis merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti hiburan.

Kesemua tangkapan berusia antara 19 hingga 55 tahun dibawa ke ibu pejabat polis daerah masing-masing untuk siasatan lanjut di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Hiburan Negeri.

Antara kesalahan yang disiasat termasuk menjual minuman keras tanpa lesen, menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI), serta membenarkan warga asing bekerja atau berada di Malaysia tanpa pas dan permit sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu, berkata operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan semua pusat hiburan mematuhi syarat lesen dan pendaftaran.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal