PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertanding di bawah bendera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya umum ke-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Walaupun rakyat Sabah lebih mengenali logo PBS, presiden parti, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan untuk menggunakan logo GRS dibuat secara bersama oleh parti komponen gabungan itu, termasuk PBS.
“Sudah tentu (logo PBS lebih dikenali), tetapi ini adalah keputusan GRS, jadi kami akur. Demi perpaduan, kita akan gunakan (logo GRS),” katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di sini.
Dalam pilihan raya negeri Sabah pada 2020, PBS menggunakan logo sendiri buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun dan memenangi tujuh kerusi.
Maximus juga berkata, masih belum ada kata putus mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti komponen GRS dan BN untuk PRU15.
Pengerusi GRS Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor masih belum mengumumkan berapa banyak kerusi yang akan diberi kepada GRS dan Umno dalam pilihan raya ini. Beliau mempengerusikan mesyuarat GRS yang dihadiri oleh pemimpin parti komponen gabungan itu. Mereka membincangkan kerjasama gabungan itu dengan BN serta strategi untuk memenangi PRU15.
-Tv Sabah News
0 Comments