KOTA KINABALU: 6 Mac 2026 – Pasukan khas menangani kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Sabah, untuk meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Kerajaan Sabah komited menangani isu berkenaan kerana kecekapan operasi pelabuhan merupakan antara faktor penting dalam rantaian industri dan pertimbangan pelabur selain kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan internet.
Ewon, yang mempengerusi sesi libat urus bersama pemegang taruh pelabuhan berkata, anjuran pertama kementerian yang melibatkan sesi dialog itu akan diadakan lebih kerap untuk memastikan isu-isu berkaitan pelabuhan dapat ditangani bersama.

Dalam sesi itu, kementerian membentangkan lapan inisiatif interim, manakala syarikat pengendali pelabuhan, DP World memberi taklimat usaha penambahbaikan asset dan kecekapan operasi.
Menurut Ewon, antara penyebab kesesakan pelabuhan ialah kelewatan projek pembesaran pelabuhan, peningkatan aktiviti indusri yang menambah pergerakan kontena dan penggunaan pelabuhan untuk operasi Ro-Ro kenderaan yang tiada dalam perancangan awal.
Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Thomas Logijin, wakil agensi dan jabatan kerajaan, syarikat konsesi, operator pelabuhan serta pemain industri.
